Wednesday, August 26, 2009

SUARA JADI AURAT JIKA MENYANYI

Pada prinsipnya suara wanita tidak dikira aurat. Suara suatu alat komunikasi utama yang dianugerahkan Allah kepada manusia, termasuk wanita.
Sekiranya suara wanita itu dikira sebagai aurat, maka kita seolah-olah meletakkan kesusahan kepada wanita sedangkan prinsip agama Islam itu ialah mudah (yusrun).
Tanpa suara, bayangkan kesusahan (usrun) yang terpaksa dialami wanita untuk berkomunikasi dengan orang lain di rumahnya, di tempat kerja, di pasar dan di bilik darjah, kuliah dan lain-lain seumpamanya. Akan terbantutlah urusan pembelajaran, pengurusan dan pelbagai jenis lagi perhubungan dunia moden sekiranya suara wanita dibatas-bataskan hingga sukar mereka hendak berkomunikasi.
Allah tidak melarang wanita bercakap dengan lelaki selagi tidak menimbulkan fitnah bagi dirinya dan bagi lelaki itu, tetapi tidak boleh melembut-lembutkan suara dengan tujuan menggoda atau melalaikan. – (Al-Ahzab: 33).
Dalam ayat itu, Allah memerintahkan wanita berkata dengan yang makruf. Ini membuktikan suara mereka bukan aurat. Demikianlah pendapat Syeikh Atiyah Saqr, Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Universiti Al-Azhar, Mesir dalam koleksi fatwanya “Soal Jawab Wanita Islam.” – (Yadim Kuala Lumpur, 1997).
Pada zaman dulu ramai kaum wanita di kalangan sahabat yang datang menemui Rasulullah untuk bertanya dan berdialog bersama baginda. Mereka menanyakan pelbagai perkara, termasuk hukum dan didengar oleh kalangan sahabat lelaki. Mereka tidak dilarang bersuara ketika itu.
Syeikh Atiyah juga memetik beberapa pendapat ulama terdahulu mengenai perkara ini. Al-Qurtubi berkata, suara wanita ketika berkata-kata bukanlah termasuk aurat, kecuali ketika dia menyanyi, maka pada saat itu suaranya aurat.
Lelaki dibolehkan bercakap atau berdialog dengan pegawainya (wanita) dengan suatu hajat yang perlu, tetapi wanita tidak boleh memerdukan atau melembut-lembutkan suaranya pada saat bercakap dengan lelaki kerana ia boleh menimbulkan berahi dan fitnah.
Imam al-Ghazali juga berkata: “Sesungguhnya suara wanita bukanlah aurat kecuali ketika dia menyanyi - maka pada saat itu suaranya aurat.
Dr Yusof al-Qardhawi dalam Fatwa Muasirah memetik dalil, suara wanita bukan aurat. Katanya, al-Quran sendiri mengandungi ayat yang membenarkan wanita berdialog dengan Nabi Muhammad.
Allah berfirman bermaksud: “Apabila mereka ingin menanyakan sesuatu mereka menanyakannya dari balik tabir.” – (Al-Ahzab:53)
Walaupun begitu, wanita tidak boleh mengeluarkan suara sewenang-wenang; tidak disyariat kepada wanita untuk azan bagi mendirikan sembahyang, kecuali di kalangan mereka sendiri.
Apabila seorang wanita ingin menegur kesalahan yang dilakukan imam dalam sembahyang tidak boleh dengan melafazkan tasbih seperti yang dilakukan oleh lelaki, tetapi memadailah dengan menepuk tangannya saja. Mereka juga tidak boleh membaca nyaring dalam bacaan sembahyang.
Di antara fitnah dalam suara wanita ialah hilai ketawa, suara yang memberahikan, nyanyian yang bertujuan menggoda dan melalaikan. Ia dilarang bagi menjaga martabat wanita.
Sebaliknya, wanita yang ingin mempelajari lagu al-Quran tidaklah dilarang. Imam Nawawi menyebut di dalam kitabnya Riadhus Salihin mengenai galakan belajar lagu al-Quran.
Daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah bersabda, bermaksud: “Allah tidak senang mendengar sesuatu selain daripada mendengar seseorang yang sedang melagukan bacaan al-Quran dengan suara lantang dan merdu.” - (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Ibnu Abbas juga menyatakan, Rasulullah bersabda bermaksud: “Sesiapa yang tidak suka berlagu (mengelokkan bacaan) al-Quran maka bukanlah daripada golonganku” – (Riwayat Abu Daud).

No comments: