Wednesday, August 26, 2009

AURAT

Menutup aurat satu kewajipan


SAYA ingin memberi sedikit penerangan ringkas berkenaan aurat wanita, kerana
ramai di kalangan wanita sendiri tidak mengetahui hukum menutup aurat yang
sebenarnya walaupun kita sendiri mengakui menutup aurat.

Perintah menutup aurat ini bukanlah rekaan Nabi Muhammad s.a.w atau ulama,
namun ia adalah satu hukum yang bersifat mutlak dari Allah s.w.t. (Surah
an-Nur ayat 31) yang bermaksud:

"Katakanlah kepada wanita yang beriman, hendaklah mereka menahan
pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan
perhiasannya kecuali yang biasa nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka
menutupkan kain tudung ke dadanya....."

Jumhur ulama bersepakat bahawa wanita wajib menutup auratnya iaitu seluruh
anggota kecuali apa yang zahir nampak darinya (sepertimana makna ayat).

Ulama hanya berselisih pendapat dalam menentukan maksud 'apa yang zahir
nampak daripadanya'. Ibnu Abbas dan jumhur ulama mentafsirkannya sebagai
muka dan tapak tangan, manakala Malik menafsirkannya sebagai pakaian yang
sempit.

Justeru, jelas menunjukkan bahawa kepala dan rambut adalah anggota wanita
atau aurat yang wajib ditutup, kerana ulama dan ahli fiqh langsung tidak
berselisih pendapat mengenainya. Bahagian yang wajib ditutup itu pula
telah dijelaskan oleh Allah bahawa ia mestilah yang "menutupkan kain tudung ke
dadanya...."

Kini terdapat masih ramai di kalangan kita yang tidak menutup aurat dengan
sempurnanya? Ada di kalangan kita yang hanya menutup rambut semata-mata
dengan membiarkan dada dan leher kita terdedah. Kita menutup aurat bukan
kerana tren atau glamour, tetapi ia adalah arahan Allah.

Saya juga ingin menjelaskan kekeliruan mengenai paksaan dalam agama.
Tafsir Al-Quran Al-'Azim karangan Imam Ibnu Kathir menjelaskan jumhur ulama
bersepakat menyatakan ayat 256 surah al-Baqarah ditujukan kepada orang yang
bukan Islam, bahawa tiada paksaan untuk mereka masuk Islam.

Ayat itu tidak merujuk kepada orang Islam. Kita perlu faham bahawa
seseorang itu perlu dan wajib patuh atas apa yang telah digariskan oleh Islam
setelah ia mengucap dua kalimah syahadah yakni apabila ia bergelar Muslim.

Justeru, tiada alasan untuk kita mengelak daripada meninggalkan larangan-Nya
atau meninggalkan segala perintah-Nya. Hakikat inilah yang dinilai oleh
Allah s.w.t untuk membezakan keimanan seseorang dengan seseorang yang lain.

Oleh itu, kita dapat simpulkan bahawa unsur paksaan ini perlu kepada
Muslim dalam perkara hukum-hakam agama khususnya merujuk kepada menutup aurat
ini.
Jika kita enggan maka balasannya adalah ditanggung oleh diri sendiri.
Sebab itulah Allah s.w.t. tidak menetapkan hukuman yang tetap kepada mereka yang tidak menutup aurat.

Buat wanita yang merasakan dirinya tidak ikhlas memakai tudung selama ini,
jangan kita mengambil sikap untuk terus meninggalkannya. Keikhlasan yang
sebenar harus dipupuk sedikit demi sedikit.

Apa yang penting adalah jihad hati kita untuk memerangi segala hasutan
hawa nafsu dan syaitan. Kita perlu meletakkan matlamat untuk berusaha terus
menutup aurat sebagai salah satu tanda mentaati Allah.

Pokok pangkalnya adalah rasa kehambaan kita kepada Allah s.w.t. Jika sudah
ada rasa hamba dalam diri kita tidak akan mencipta pelbagai alasan untuk
mengelak dari melakukan suruhan Tuhan dalam kehidupan.

Hukum hakam agama adalah perkara yang tidak boleh dijadikan bahan gurau
senda apatah lagi untuk mengingkarinya. Perkara ini hanya cabang kecil
daripada Islam, tetapi memberikan kesan yang besar kepada pembinaan
peribadi, masyarakat, agama dan negara.

RUJUKAN:
Husna Husain,
Biro Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI),
Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM),
Kuala Lumpur.

No comments: